Top Menu
Language Select
W3C Color Changer
Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Font Sizer
Background Changer
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
Banner
Last Updated Date
Kemaskini Pada: 26 Ogos 2014
Versi 6.0.6
Footer Menu
Best Viewed
Perutusan Pegawai Daerah Cetak Perutusan Pegawai Daerah

Perutusan Pegawai Daerah

image

Selamat datang ke laman web rasmi Pejabat Daerah Belaga. Daerah Belaga merupakan sebuah Daerah yang luas dan jauh di pedalaman Negeri Sarawak. Ia mempunyai keluasan 19,403.27 km per segi.  Daerah ini adalah bersempadanan dengan Daerah Baram, Bintulu, Tatau dan Kapit, dan dengan Kalimantan Tengah, Indonesia. Banjaran Iran adalah merupakan garisan sempadan semulajadi yang memisahkan Daerah Belaga dengan Kalimantan Tengah. Dari segi bentuk muka bumi,  Daerah Belaga dihampari oleh kawasan dataran tanah tinggi ( kebanyakan melebihi 4,000 kaki dari paras laut ) dan kawasan lembangan-lembangan sungai di mana mengalirnya Sungai-sungai utama seperti Sungai Balui (kawasan Hulu Sungai Rajang) Sungai Linau, Sungai Plieran dan Sungai Belaga.  Di kawasan lembangan sungai-sungai inilah terdapatnya rumah panjang – rumah panjang masyarakat Orang Ulu.


Masyarakat Orang Ulu yang membentuk 96% dari keseluruhan penduduk daerah ini terbahagi kepada sub-kaum Kajang, Kenyah, Penan dan Kayan.  Melawati rumah panjang masyarakat Orang Ulu akan pasti menjadikan pengunjung merasa terhibur kerana masyarakat ini sangat kaya dengan adat resam, budaya dan tradisi yang diwarisi turun temurun.    Dari segi agama, sebahagian besar daripada masyarakat Orang Ulu adalah beragama Kristian dan Bungan, sementara terdapat sebilangan kecil beragama Islam.  Di pekan Belaga yang terletak di kuala Sungai Belaga, terdapat sebilangan kecil masyarakat Cina dan masyarakat Melayu.

Tahun 1987 telah menyaksikan permulaan perubahan yang sangat besar di Daerah Belaga. Kira-kira 12000 orang penduduk yang daripada 15 buah rumah panjang di kawasan Hulu Balui diarahkan untuk berpindah ke kawasan Sg. Asap dan Sg. Koyan untuk memberi lalui kepada projek mega iaitu Projek Hidro-Elektrik Bakun. Projek Hidro-Elektrik ini akan menenggelamkan kawasan kawasan seluas 69,640 hektar dan mempunyai kawasan tadahan seluas 1.5 juta hektar, sementara kawasan takungan pula seluas 69,640 hektar.  Pelaksanaan Projek Hidro-Elektrik Bakun dan Projek Hidro-Elektrik Murum di Daerah Belaga melayakkan Daerah Belaga mendapat gelaran "The Heart of Sarawak Development" Saya katakan demikian kerana bekalan tenaga elektrik berasaskan kuasa hidro akan menjadi sumber tenaga utama pada masa akan datang. Pemindahan penduduk daripada 15 buah rumah panjang tersebut telah membawa kepada pewujudan satu Daerah Kecil yang dikenali sebagai Daerah Kecil Asap pada 30 Disember 1999.

Seperti daerah yang lain, pekan utama daerah ini iaitu Pekan Belaga dan Asap dibekalkan dengan bekalan tenaga elektrik 24 jam, air bersih, kemudahan kesihatan dan kemudahan telekomunikasi secara satelit.  Jabatan dan pejabat utama kerajaan terdapat di daerah ini, namun kemudahan perbankan masih belum ada disini.

Daerah Belaga memang boleh dikatakan sebagai Daerah terpencil secara fizikal, memandangkan Daerah ini terutama sekali Pekan Belaga belum lagi dihubungkan dengan Daerah lain melalui jaringan jalan raya rasmi.  Hanya jalan pembalakkan yang ada untuk membolehkan penduduk di Pekan Belaga keluar ke Bintulu suatu perjalanan yang mengambil masa kira-kira 4 ke 5 jam.  Dari bandar Sibu, Belaga boleh kunjungi dengan menggunakan bot ekpress yang mengambil masa kira-kira 8 jam.  Meskipun demikian, bagi mereka yang gemarkan suasana alam semulajadi dan cabaran, ketenangan dan kedamaian lawatan ke Daerah Belaga pasti memberikan suatu kepuasan dan pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan.  Kehijauan Hutan Hujan Tropika, keindahan puluhan kawasan jeram dan air terjun , kehalusan seni kraftangan, kesenian dan keramahan masyarakat pribumi Belaga pasti menjadikan segala keletihan dan kepayahan untuk datang ke Daerah ini sangat berbaloi.

Bagi memeriahkan lagi suasana, masyarakat di Daerah Belaga telah bergabung tenaga dan usaha untuk menganjurkan Cabaran Hutan Hujan Tropika Belaga (Belaga Rainforest Challenge) dan Pesta Sungai Asap masing-masing pada bulan Julai dan September setiap tahun.  Di dalam kedua-dua aktiviti ini, pengunjung akan berpeluang untuk turut serta di dalam acara-acara lasak seperti larian merentas hutan, lumba perahu jalur, sukan rakyat (tradisional), pameran dan jualan kraftangan, persembahan kebudayaan dan banyak lagi.

Sesungguhnya perkataan tidak mungkin cukup untuk menggambarkan semuanya. Daerah Belaga adalah jauh lebih indah dari apa yang telah saya catatkan di sini. Oleh yang demikian saya dan seluruh penduduk di Daerah Belaga dengan berbesar hati menjemput anda untuk melawati dan melihat sendiri keindahan Daerah Belaga. 

Selamat Datang !



Pegawai Daerah
Belaga

 

 
|