|
Perutusan Pegawai Daerah
Selamat
datang ke laman web Pejabat Daerah Belaga.
Daerah Belaga merupakan sebuah
Daerah yang luas dan jauh di pedalaman Negeri Sarawak. Ini
adalah kerana bakal penjana kuasa elektrik hidro utama di negeri ini
iaitu Empangan Bakun dan Empangan Murum semuanya terletak di Daerah
Belaga. Ia
mempunyai
keluasan 19,403.27 km per segi. Namun demikian jumlah penduduk
daerah
ini adalah kecil iaitu sekitar 22,864 orang yang tinggal di 62 buah
rumahpanjang
dan kampung.
Daerah ini adalah bersempadanan
dengan Daerah Baram, Bintulu,
Tatau
dan Kapit, dan dengan Kalimantan Tengah, Indonesia. Banjaran Iran
adalah merupakan garisan sempadan semulajadi yang memisahkan Daerah
Belaga dengan Kalimantan Tengah. Dari segi bentuk muka bumi,
Daerah Belaga dihampari oleh kawasan dataran tanah tinggi (
kebanyakan melebihi 4,000 kaki dari paras laut ) dan kawasan
lembangan-lembangan
sungai di mana mengalirnya Sungai-sungai utama seperti Sungai Balui
(kawasan Hulu Sungai Rajang) Sungai Linau, Sungai
Plieran
dan Sungai Belaga. Di kawasan lembangan sungai-sungai inilah
terdapatnya
rumah panjang – rumah panjang masyarakat Orang Ulu.
Masyarakat Orang Ulu yang membentuk
96% dari keseluruhan penduduk
daerah
ini terbahagi kepada sub-kaum Kajang, Kenyah, Penan dan Kayan.
Melawati rumah panjang masyarakat Orang Ulu akan pasti menjadikan
pengunjung merasa terhibur kerana masyarakat ini sangat kaya dengan
adat resam, budaya dan tradisi yang diwarisi turun
temurun. Dari
segi agama, sebahagian
besar daripada masyarakat Orang Ulu adalah beragama Kristian dan
Bungan,
sementara
terdapat sebilangan kecil beragama Islam. Di pekan Belaga yang
terletak di kuala Sungai Belaga, terdapat
sebilangan kecil masyarakat Cina dan masyarakat Melayu.
Tahun 1987 telah menyaksikan permulaan perubahan
yang
sangat besar di Daerah Belaga. Kira-kira 12000 orang penduduk yang
daripada 15 buah rumah panjang di kawasan Hulu Balui diarahkan untuk
berpindah ke kawasan Sg. Asap dan Sg. Koyan untuk memberi lalui kepada
projek mega iaitu Projek Hidro-Elektrik Bakun. Projek Hidro-Elektrik
ini akan menenggelamkan kawasan kawasan seluas 69,640 hektar dan
mempunyai kawasan tadahan
seluas 1.5 juta hektar, sementara kawasan takungan pula seluas 69,640
hektar. Pelaksanaan
Projek
Hidro-Elektrik Bakun dan Projek Hidro-Elektrik Murum di Daerah Belaga
melayakkan Daerah Belaga mendapat gelaran "The Heart of Sarawak
Development" Saya katakan demikian kerana bekalan tenaga elektrik
berasaskan kuasa hidro akan menjadi sumber tenaga utama pada masa akan
datang. Pemindahan
penduduk daripada 15 buah rumah panjang
tersebut telah membawa kepada pewujudan satu Daerah Kecil yang dikenali
sebagai Daerah Kecil Asap pada 30 Disember 1999.
Seperti daerah yang lain, pekan utama daerah ini
iaitu
Pekan Belaga dan
Asap dibekalkan dengan bekalan tenaga elektrik 24 jam, air bersih,
kemudahan
kesihatan dan kemudahan telekomunikasi secara satelit. Jabatan
dan
pejabat utama kerajaan terdapat di daerah ini, namun kemudahan
perbankan
masih belum ada disini.
Daerah
Belaga memang boleh dikatakan sebagai
Daerah terpencil secara fizikal, memandangkan Daerah ini terutama
sekali Pekan Belaga belum lagi dihubungkan dengan Daerah lain melalui
jaringan jalan raya rasmi. Hanya jalan pembalakkan yang ada untuk
membolehkan penduduk di Pekan Belaga keluar ke Bintulu suatu perjalanan
yang mengambil masa kira-kira 4 ke 5 jam. Dari bandar Sibu,
Belaga boleh kunjungi dengan menggunakan bot ekpress yang mengambil
masa kira-kira 8 jam. Meskipun demikian, bagi mereka yang
gemarkan suasana alam semulajadi dan cabaran, ketenangan dan kedamaian
lawatan ke Daerah Belaga pasti memberikan suatu kepuasan dan pengalaman
yang tidak mungkin dapat dilupakan. Kehijauan Hutan Hujan
Tropika, keindahan puluhan kawasan jeram dan air terjun , kehalusan
seni kraftangan, kesenian dan keramahan masyarakat pribumi Belaga pasti
menjadikan segala keletihan dan kepayahan untuk datang ke Daerah ini
sangat berbaloi.
Bagi memeriahkan
lagi suasana, masyarakat di Daerah Belaga telah bergabung tenaga dan
usaha untuk menganjurkan Cabaran Hutan Hujan Tropika Belaga (Belaga
Rainforest Challenge) dan Pesta Sungai Asap masing-masing pada bulan
Julai dan September setiap tahun. Di dalam kedua-dua aktiviti
ini, pengunjung akan berpeluang untuk turut serta di dalam acara-acara
lasak seperti larian merentas hutan, lumba perahu jalur, sukan rakyat
(tradisional), pameran dan jualan kraftangan, persembahan kebudayaan
dan banyak lagi.
Sesungguhnya
perkataan tidak mungkin cukup untuk menggambarkan semuanya. Daerah
Belaga adalah jauh lebih indah dari apa yang telah saya catatkan di
sini. Oleh yang demikian saya dan seluruh penduduk di Daerah Belaga
dengan berbesar hati menjemput anda untuk melawati dan melihat sendiri
keindahan Daerah Belaga.
Selamat Datang!
.
Pegawai
Daerah
Belaga
|