Ketika zaman pentadbiran kerajaan
Brooke dan seterusnya pentadbiran kolonial Inggeris, Belaga merupakan
pekan kecil
yang diletak dibawah naungan daerah Kapit. Pegawai Inggeris dan
seterusnya anak tempatan yang berjawatan Native Officer mendapat arahan
dari Pegawai Daerah Kapit. Kedudukan ini berterusan sehinggalah
pada pertengahan tahun 1970’an dimana statusnya dinaikkan ke taraf
daerah penuh.
Di dalam menjalankan tugas,
pentadbiran berpusat di pekan Belaga dimana pada suatu ketika dahulu
Kubu Vyner didirikan. Kubu ini bukan sahaja berfungsi sebagai
pejabat kerajaan malah menjadi benteng mempertahankan pekan Belaga dari
serangan musuh.
Sejarah awal mendapati
bahawa memang sudah ujud kaum yang mendiami daerah ini. Kaum
Kajang dikatakan telah mendiami kawasan tebingan sungai hulu batang
Rajang dan hilir batang Balui sejak lebih seratus tahun yang
lalu. Kaum Penan yang pada mulanya berpindah randah (
hunter gatherers ) mula duduk secara tetap sejak awal tahun
1970’an di kawasan sungai Danum, sungai Linau, sungai Plieran dan long
Urun. Kaum Kayan dan Kenyah pula dipercayai berasal dari Apo
Kayan, iaitu suatu penempatan yang besar terletak di
sungai Mahakam, Kalimantan, Indonesia. Mereka berhijrah ke Belaga
menyusuri sungai Balui dan terus menetap disitu sejak pertengahan abad
ke 19. Orang Melayu dan Cina dipercayai datang dari kawasan
sekitar
Sibu dan berhijrah ke Belaga pada sekitar tahun 1900.
Dari corak penghijrahan mereka
menentukan pola penempatan kaum-kaum berkenaan. Masyarakat orang
Melayu dan Cina mendiami kawasan pekan Belaga, manakala kaum Kayan dan
Kenyah tinggal di kiri dan
kanan sungai Balui. Kebanyakan kaum Kajang mendiami tebingan
sungai
di hilir sungai Balui terutamanya di kawasan bawah long Murum (dimana
terletaknya projek hidro Bakun).